SEKAPUR SIRIH DARIPADA
GURU BESAR
( EN. RASHID BIN AHMAD)
Assalamualaikum Wrbkth.Assalamualaikan dan salam sejahtera.
Selamat berjumpa kembali diucapkan kepada semua rakan-rakan warga SKTBT yang dikasihi semoga semua berada dalam keadaan sihat sejahtera, ceria, selesa dan bersemangat untuk memulakan tugas dalam sesi persekolahan yang baru iaitu 2008.
Sebelum kita memulakan tugas baru marilah kita sama-sama merenungkan kembali akan tugas dan peranan kita di sini. Sekolah adalah merupakan pusat kecemerlangan pendidikan. Justeru sekolah memainkan peranan utama sebagai tempat menyampaikan ilmu pengetahuan, memberikan pelbagai kemahiran dan membentuk keperibadian yang unggul pada diri pelajar. Oleh itu sekolah kita harus kita urus dengan baik. Kita harus memastikan setiap keperluan disediakan, semuanya mestilah berfungsi dan dalam keadaan yang bersih dan menekankan usaha meningkatkan peranan agar dapat memberi pendidikan yang bermakna serta berfaedah kepada pelajar. Setiap pelajar mempunyai hak untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan pendidikan yang sempurna dn kita harus sedar bahawa kita tidak boleh menafikan atau menidakkan hak anak-anak kita ini.
Marilah kita sama-sama menjadikan sekolah kita sebagai institusi pembelajaran yang berkesan dengan mengembleng seluruh tenaga dan pengalaman yang ada. Marilah kita memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan tahap kecemerlangan akademik, kokurikulum dan sahsiah dengan melaksanakan tugas pengajaran dan pembalajaran secara terancang, kreatif dan inovatif. Tanamakan perasaan empati dalam diri kita agar anak-anak didik merasa dihargai dan sedar betapa pentingnya mereka bersekolah.
Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih atas kejayaan-kejayaan yang telah kita capai sepanjang tahun 2007. Di samping itu kita perlu terus menilai semua kekuatan, peluang, kelemahan dan ancaman yang ada dan menyusun strategi yang berkesan dalam langkah melakukan penambahbaikan yang berterusan. Kita tidak boleh leka berada dalam zon selesa. Oleh itu kita harus mencari cabaran-cabaran baru yang akan merangsang kita berfikir dan bertindak mengikut prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan.
Keapada warga baru SKTBT saya ucapkan selamat datang dan berharap agar dapat menyesuaikan diri dengan suasana dan budaya yang baru tetapi dalam apa keadaan sekali pun harus diingat bahawa ”BUDAYA CEMERLANG” DAN ”SKTBT BOLEH” tetap menjadi pegangan kita. Sama-samalah kita berusaha dan berdoa agar tahun 2008 menyaksikan peningkatan prestasi kita dalamsemua bidang. Insyallah.
” KECEMERLANGAN SKTBT TANGGUNGJAWAB KITA SEMUA’